Sedih selepas aku menonton video yang dimuat turun
dalam youtube apabila kampong Chubadak yang diroboh oleh DBKL…dalam video itu
aku lihat mak cik2 dan nenek2 yang sedih apabila mengenangkan rumah mereka akan
dirobohkan..anak-anak kecik menangis melihat rumah mereka dirobohkan…
kampung chubadak terletak berhampiran dengan
bandar raya kuala lumpur. Berdasarkan sejarah lisan, Kampung
Chubadak ini di sebelah utara yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai
Kampung Chubadak Hulu dan di sebelah selatan dikenali sebagai Kampung Chubadak
Hilir telah wujud sebelum tahun 1800. Kampung ini diterokai oleh orang
berketurunan minang Chubadak dari Sumatra berjenarasi lamanya. Penduduk asal
Kampung Chubadak adalah merupakan pemilik tanah rezab Melayu dari dahulu hingga
sekarang yang mempunyai geran tanah sendiri.
Dalam mengejar pembangunan serta kemodenan, kita seakan
melupakan kampung tradisi kaum Melayu yang semakin berkurangan.Ini kerana,
kebanyakan kampung-kampung tersebut telah dibangunkan oleh kerajaan mahupun
pemaju.Usaha memajukan sesebuah kampung yang daif dilihat amat baik namun
sekiranya identiti tradisi kampung Melayu terhakis, ia pasti memberi kesan
negatif kepada generasi akan datang.Bersandarkan kepada prinsip mahu
mempertahankan identiti kampung Melayu tradisi inilah yang menyebabkan
kira-kira 160 keluarga di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul berusaha selama 12
tahun memperjuangkan nasib kampung mereka yang kini hanya tinggal sekangkang
kera akibat dihimpit pembangunan di sekelilingnya.
Lokasi Kampung Chubadak yang hanya lima kilometer dari pusat
bandar menjadikan kawasan tersebut umpama lubuk emas dan menjadi rebutan banyak
pihak untuk membangunkannya dengan penempatan mewah yang sudah tentu memberi
pulangan jutaan ringgit.Tatkala kawasan di sekelilingnya dipacakkan
bangunan-bangunan tinggi, kampung yang berusia lebih 50 tahun ini masih di
takuk lama.Sekali pandang, kampung tersebut umpama setinggan di Ciliwung,
Jakarta, cuma bezanya Kampung Chubadak bukan berstatus setinggan walaupun
kebanyakan orang beranggapan sebegitu.
Menurut maklumat yang diperoleh, tanah di kampung tersebut
telah memperolehi pengiktirafan milikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada
tahun 1998 yang mengatakan bahawa ia adalah milik peneroka-peneroka bandar dan
perlu membayar ganti rugi kepada mereka sekiranya ingin memajukan kawasan
tersebut. Menurut keputusan itu, ganti rugi yang perlu dibayar oleh pemaju
adalah berdasarkan keseluruhan kos yang dialami penduduk untuk kerja-kerja
pembinaan dan pengubahsuaian rumah atau mereka dibayar dengan nilai semasa
rumah yang ditaksirkan oleh penilai tanah bebas yang dipersetujui bersama
kedua-dua pihak serta pembayaran segala kos sampingan berhubung penempatan
semula penduduk.
Bagi mendapat gambaran yang jelas, wartawan dan jurugambar
Utusan Malaysia menyusuri kampung berkenaan berikutan berlakunya pertikaman
lidah di antara penduduk dan pemaju yang didakwa menceroboh kawasan kampung
tersebut baru-baru ini.Penduduk mendakwa, pemaju telah membina pagar berdekatan
jalan utama ke kampung tersebut sehingga empat buah rumah penduduk telah
dirobohkan.Oleh itu, maka terjadinya pertelingkahan di antara pemaju dengan
penduduk yang masih belum ada kesudahannya sehingga kini.Difahamkan, penduduk
di kampung tersebut merupakan waris generasi keempat kepada mereka yang
meneroka dan menetap di kawasan itu seawal tahun 1980-an.Namun pada pada tahun
1996, kampung tersebut digegarkan dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) membenarkan pemaju untuk membina beberapa blok apartmen di kawasan
berkenaan.
Natijahnya, bagi mempertahankan kampung mereka, ramai di
kalangan penduduknya pernah bermalam di lokap gara-gara mengadakan perhimpunan
bagi menghalang pemaju daripada meneruskan kerja-kerja pembinaan.Sebahagian
daripada penduduk pula menerima tawaran yang diberikan oleh pemaju iaitu
pampasan sebanyak RM7,000 dan sebuah rumah untuk diduduki iaitu di Projek Perumahan
Rakyat (PPR) Batu Muda.Menurut Ketua Kampung Chubadak Tambahan, Rahim Ali,
sebelum ini telah beberapa kali penduduk membuat bantahan kepada DBKL namun
tiada tindakan yang diambil memandangkan ia bukan di bawah bidang kuasa mereka
kerana tanah berkenaan adalah hak pemaju.KemusykilanKatanya, yang menjadi
kemusykilan ialah bagaimana tanah kampung itu dijual kepada pemaju tanpa
diiklankan serta di luar pengetahuan penduduk yang menjadi pewaris kepada tanah
tersebut."Penduduk kampung bukanlah menolak pembangunan yang hendak
diadakan namun mengapa mereka menggunakan cara yang kasar begini... pendapat
kami langsung tidak diambil kira dalam membuat sebarang keputusan.
"Jika benar sekalipun di luar bidang kuasa DBKL, tidak
bolehkah DBKL membantu kami untuk memperjelaskan masalah tersebut dan bukan
hanya dengan menawarkan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sahaja
untuk menempatkan kami."Kami bukan setinggan. Kami adalah pewaris kepada
tanah peneroka-peneroka bekas lombong ini dan kami memerlukan keprihatinan
semua pihak bagi menyelesaikan kemelut yang menimpa penduduk perkampungan
Melayu ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chubadak,
Sentul di sini hari ini.
Tambahnya, lebih menyedihkan, DBKL telah mengkategorikan
kampung tersebut sebagai penempatan setinggan dalam Draf Pelan Bandar Raya
Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dilancarkan baru-baru ini bersama-sama lima buah
kampung lagi.Kampung lain ialah Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam,
Kampung Sungai Merali, Kampung Bahagia dan Kampung Puah."Saya hairan
mengapa kampung-kampung ini dikatakan setinggan setelah nenek moyang kami yang
meneroka kampung ini satu masa dahulu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Ramlee Ahmad, 38, memberitahu,
keadaan di kampung tersebut menjadi kucar-kacir sejak beberapa tahun dahulu
apabila pihak pemaju mula menutup dan mengubah laluan utama untuk masuk keluar
ke kampung berkenaan tanpa membuat sebarang makluman.Ujarnya, jalan tersebut
ditutup bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan dijalankan.Tambahnya, berang
dengan tindakan tersebut, penduduk beberapa kali mencabut pagar-pagar yang
didirikan menyebabkan pemaju 'kepanasan' sehinggakan terpaksa melibatkan campur
tangan polis bagi menyelesaikan isu tersebut.Malangnya, ia pasti berakhir
dengan pertelingkahan dan penahanan penduduk kampung walaupun pada awalnya
hanyalah niat untuk mengadakan perbincangan sahaja.
"Kalau tidak silap saya, sudah beberapa kali saya
terpaksa berdepan dengan insiden di mana penduduk kampung ditahan di lokap Ibu
Pejabat Polis Daerah Sentul kerana kesalahan kacau ganggu pemaju."Namun
apa yang membanggakan saya ialah penduduk kampung ini tidak kisah bermalam di
lokap demi memperjuangkan nasib tanah mereka dilahirkan seperti mana yang
dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara dahulu.
"Jadi saya amat berharap, kerajaan dapat campur tangan
bagi menyelesaikan masalah ini demi kepentingan hak orang Melayu yang menetap
di kampung ini," tegasnya.Bagi Siti Solehah Husaini, 44, walaupun dia
telah beberapa kali ditangkap polis kerana menghalang kerja-kerja pembinaan
yang dijalankan pemaju, dia tidak kisah asalkan tanahnya tidak tergadai."Setiap
kali saya ingin berbincang dengan pemaju mengenai hak tanah ini, pastinya ia
tidak dapat dilaksanakan dengan baik sehingga menyebabkan pergaduhan dan yang
terbaru ialah pada 21 Ogos lalu di mana anak saya juga ditangkap."Saya
tidak tahu apakah kesalahan kami... memperjuangkan hak ke atas kampung sendiri
daripada diceroboh pun dikira kesalahan sehingga boleh ditahan."Penduduk
kampung sama sekali tidak menolak pembangunan yang hendak dijalankan tetapi
biarlah dengan beradab memandangkan kami adalah pewaris kepada tanah ini,"
katanya.
Nada yang sama disuarakan oleh Rosidah Mohd. Daud, 43, yang
mengakui bahawa masalah tersebut berlaku memandangkan penduduk tidak mempunyai
geran tanah yang membuktikan tanah tersebut milik mereka, berbeza dengan pemaju
yang memiliki geran tersebut."Saya tidak tahu bagaimana pemaju memperoleh
geran tanah tersebut sedangkan kami tidak mengetahui siapa yang menjual tanah
ini."Apa yang kami tahu, kami mempunyai keputusan mahkamah yang mengatakan
bahawa kami mempunyai ekuiti ke atas tanah kampung ini, yang membezakan antara
kami dengan penduduk setinggan," ujarnya.Begitulah nasib segelintir
penduduk di Kampung Chubadak Tambahan yang hak mereka ke atas tanah diduduki
masih samar-samar namun tidak akan berganjak daripada pendirian mereka untuk
tetap utuh memperjuangkannya.
Oleh itu, ada baiknya penduduk, DBKL serta pemaju duduk
berbincang bersama-sama bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang dapat
memuaskan hati semua pihak.